Budaya elitisme yang menekankan pencapaian akademik sebagai pengukur utama kecemerlangan dalam sistem pendidikan negara menimbulkan tekanan yang tidak sepatutnya kepada pelajar dan sekolah.
Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Zalizan Mohd Jelas, berkata kepemimpinan sekolah tertekan untuk bersaing menghasilkan keputusan peperiksaan dengan peratusan kelulusan dan jumlah gred A tertinggi.
Sistem pendidikan berorientasi peperiksaan itu juga, katanya, membuatkan pembelajaran tertumpu secara fahaman dan latih tubi berbanding pembangunan kemahiran berfikir secara kritis serta kreatif.
“Konsep kecemerlangan sekolah amat baik namun ia perlu diteliti supaya tidak terlalu menekankan pencapaian akademik sebagai fokus utama kriteria kejayaan.
“Walaupun persaingan mencapai kecemerlangan ini memang ada kesan positif, penekanan terhadap persediaan dan latih tubi untuk peperiksaan mengehadkan masa guru serta aktiviti pengembangan potensi pelajar sepenuhnya,” katanya.
Zalizan berkata, reformasi sistem pendidikan memerlukan perubahan pada lima peringkat iaitu hala tuju, struktur, kurikulum, pedagogi dan penilaian.
Katanya, hala tuju pendidikan perlu ditetapkan supaya institusi tidak wujud sekadar untuk mendapat prestasi baik dalam konteks sekolah saja, malah kehidupan pelajar di luar sekolah.
Antara lain ia membabitkan minat, aktiviti, tahap pemikiran dan penyelesaian masalah yang digunakan pelajar apabila mereka tidak berada di sekolah.
Peringkat struktur pula membabitkan perubahan strategik dan disokong secara saintifik dalam perancangan, organisasi, pentadbiran serta infrastruktur dan pembentukan budaya organisasi yang menjurus kepada matlamat memastikan respon sesuai kepada kepelbagaian pelajar.
“Ciri ini adalah pemisahan pengurusan mata pelajaran dan pembahagian tenaga manusia serta sumber bahan mengikut kategori seperti bidang sains dengan sastera saja atau pelajar biasa dengan pendidikan khas.
“Struktur ini bukan amalan terbaik untuk mengurus sekolah tetapi telah wujud sekian lama hingga kita menerimanya sebagai perkara semula jadi dan bukan hasil keputusan bersama,” katanya.
Zalizan berkata, pembentukan dasar kesaksamaan dan ekuiti dalam kurikulum serta amalan pedagogi memerlukan jaringan penyelidikan secara menyeluruh supaya penggubalannya memenuhi kehendak pasaran dan seiring perubahan semasa.
Peringkat penilaian yang juga dimensi kelima dalam proses reformasi sekolah, katanya, perlu diubah selaras perubahan peringkat kurikulum dan pedagogi serta tidak terikat dengan penilaian berasas sistem peperiksaan.
Apa pendapat anda?
No comments:
Post a Comment